Pelan Integriti Nasional
LATAR BELAKANG PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)Menyedari
tentang pentingnya integriti di kalangan masyarakat, Kerajaan telah
menyediakan dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pelan ini
dibangunkan dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika
dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia. Pelan
seumpama ini membolehkan Kerajaan merancang pelbagai program secara
teratur dalam usaha membudayakan etika dan integriti masyarakat. Sebelum
ini telah terdapat pelbagai usaha yang dilakukan, tetapi didapati
usaha-usaha ini tidak konsisten dan tidak menyeluruh dan hasilnya
sebilangan besar usaha-usaha ini menemui kegagalan terutamanya dalam
usaha mewujudkan sinergi semua sektor.
Skop
dan konsep yang dibawa oleh PIN kelihatannya lebih menyeluruh dan
holistik dalam memberi panduan kepada setiap komponen masyarakat untuk
membudayakan integriti. PIN yang dilancarkan pada 23 April 2004, oleh
Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi,
adalah selaras dengan cabaran ke empat Wawasan 2020 iaitu untuk
“Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya,
dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh,
dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”.
Objektif khusus PIN1.
Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat
bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu,
berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;
2. Meningkatkan
kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha
peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan
diamalkan dalam semua bidang;
3. Menggalakkan semangat
bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong
perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan
bergerak cergas menegakkan integriti;
4. Menyumbang kepada usaha
pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan
kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan
5. Meningkatkan daya
saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21
khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.
Untuk
melaksanakan PIN, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan
dengan peranan utamanya untuk mengkoordinasikan dan memantau pelaksanaan
PIN. IIM telah didaftarkan sebagai sebuah badan bebas berstatus
syarikat jaminan kerajaan dibawah Akta Syarikat 1965 pada 4 Mac 2005.
Penubuhan IIM ini telah diumumkan kepada masyarakat pada 23 April 2004
bersempena dengan pelancaran PIN. IIM dikawal oleh sebuah Lembaga
Pengarah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai
oleh beberapa orang tokoh yang berwibawa dalam bidang masing-masing.
Gerakan
pemantapan integriti semua lapisan masyarakat berdasarkan PIN dan
dikoordinasikan pelaksanaannya oleh IIM diharapkan akan menjadi
inspirasi dan kekuatan bagi membina Malaysia yang lebih cemerlang,
gemilang dan terbilang.
TEKAD 2008Kearah
pemantapan integriti supaya berjalan lancar dan mencapai matlamatnya,
maka Pelan Integriti Nasional (PIN) telah menyusun dan menetapkan
sasarannya yang dikenali sebagai TEKAD 2008 untuk dicapai dalam tempoh
lima tahun pertamanya (2004-2008). Terdapat lima sasaran yang digariskan
melalui TEKAD 2008, iaitu;
Sasaran pertama
mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan. Bagi tujuan
pemantauan
dan penanda aras sasaran ini akan mengguna pakai tanda aras
antarabangsa dan juga dalam negeri. Tanda aras antarabangsa yang
digunakan dalam menilai tahap rasuah ialah kedudukan negara dalam Indeks
Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International.
Indeks kejayaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam menyiasat dan jumlah
kes yang diselesaikan turut digunakan sebagai penanda aras pencapaian
sasaranan pertama ini.
Sasaran ke-2
meningkatkan
kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi
karenah birokrasi. Bagi agensi yang berada dibawah kawal selia sektor
kerajaan, indeks persepsi awam digunakan sebagaipenanda aras. Dalam
sasaran kedua ini yang perlu dicapai ialah skor mata supaya berada
dibawah paras 2.5 mata yang mana skor 1 adalah yang terbaik dan skor 5
yang terburuk. Agensi kerajaan yang lain seperti Biro Pengaduan Awam
(BPA), BPR dan Ketua Audit Negara digunakan untuk melihat bilangan aduan
dan maklum balas masyarakat umum. Aduan yang dibuat menerusi jabatan
atau agensi kerajaan serta saluran aduan lainnya yang boleh dijadikan
sumber maklumat menilai tahap perkhidmatan. Sekiranya sesuai tanda aras
antarabangsa dan dalam negeri akan diambil kira untuk mengukur kecekapan
pentadbiran kerajaan.
Sasaran ke-3
meningkatkan
tadbir urus korporat dan etika perniagaan. Sebagai petunjuk
meningkatnya tadbir urus korporat dan etika perniagaan ialah peningkatan
jumlah syarikat korporat yang mematuhi syarat-syarat penyenaraian di
Malaysia Securities Exchange Berhad (MSEB). Kes-kes penipuan korporat
juga berkurangan dan bertambahnya bilangan syarikat-syarikat yang
menerima pakai Rukuniaga Malaysia dalam urusan perniagaan mereka juga
akan dinilai bagi mengukur pencapaian yang disasarkan. Prestasi
pencapaian sasaran ke-3 ini turut melihat peningkatan tender yang
dilakukan secara telus dan merosotnya tender yang dibuat secara
langsung. Berkurangnya kes pelanggaran terhadap Akta perlindungan
Pengguna 1999 akan membuktikan tadbir urus korporat dan etika perniagaan
bertambah baik dan diamalkan secara berterusan.
Sasaran yang ke-4
memantapkan
institusi keluarga. Sasaran ini memberikan penekanan untuk melahirkan
keluarga yang mempunyai daya tahan yang kukuh dan kehidupan keluarga
yang sejahtera dan bahagia. Pengurangan kadar perceraian, pengurangan
konflik keluarga seperti isu perebut harta dan hak penjagaan anak-anak
dan pengurangan kadar keganasan rumahtangga adalah menjadi petunjuk
kepada pencapaian sasaran ini. Selain dari itu peningkatan bantuan
kepada keluarga ibu dan bapa tunggal turut berperanan bebagai penanda
aras. Kadar pengabaian warga tua dan kadar penderaan serta pengabaian
kanak-kanak perlu berkurangan dalam masyarakat dan ini juga akan
digunakan untuk menentukan pencapaian sasaran yang ke-4 ini.
Sasaran yang ke-5
meningkatkan
kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Pengurangan kadar jenayah
dalam masyarakat diambil sebagai petunjuk kepada tahap kehidupan
masyarakat yang lebih selamat. Jenayah yang dimaksudkan termasuklah
jenayah berat, jenayah seks dan harta benda. Kadar gejala sosial seperti
penagihan dadah, perlakuan seks rambang dan bebas yang menjadi punca
HIV dan AIDS serta pasangan yang bersekedudukan. Pengurangan kadar ini
diambil sebagai petunjuk kepada kehidupan masyarakat yang lebih sihat
daan bermoral. Kes kemalangan jalanraya yang berkurangan juga
mencerminkan meningkatnya etika pemanduan dan ketegasan dalam
penguatkuasaan undang-undang lalulintas. Keberkesanan pendidikan sivik
dikalangan pelajar dan tahap disiplin pelajar yang meningkat serta
berkurangnya salah laku pelajar juga akan dinilai untuk menunjukkan
bahawa masyarakat telah mencapai keselesaan hidup yang terbaik.
Kurangnya kes pencemaran alam sekitar akan memperlihatkan kesedaran
masyarakat terhadap pentingnya pembangunan yang seimbang.
Hakikatnya
semua sasaran yang hendak dicapai ini sukar untuk diukur dan ianya
lebih bersifat sebjektif, tetapi anggota masyarakat dapat menilai
berdasarkan pemerhatian dari masa ke semasa. Walau bagaimanapun penanda
aras yang digunakan akan dapat memberikan gambaran tahap pencapaian
sasaran TEKAD 2008.
GERAKAN PEMANTAPAN INTEGRITIGerakan
pemantapan integriti adalah satu gerakan menyeluruh dan berterusan yang
dipandukan oleh prinsip dan objektif Pelan Integriti Nasional (PIN).
Pendekatan umum PIN ialah menggerakkan semua komponen dan sektor negara
dan masyarakat supaya mendukung dan menghayati objektif dan matlamat PIN
serta bekerjasama dan berkoordinasi di antara satu sama lain untuk
mencapai cita-citanya. Pendekatan ini melibatkan penjalinan kekuatan
pelbagai komponen 'dari bawah' yang bekerjasama sesama sendiri serta
penggemblengan kekuatan tersebut dengan 'pihak atas' untuk tujuan
meningkatkan integriti. Di antara pelbagai komponen itu terdapat timbal
balas yang berterusan. Sementara 'pihak atas' memberikan bimbingan dan
menunjukkan teladan mengenai integriti, 'pihak bawah' pula memberikan
sokongan,
maklum balas dan kawalan kepada 'pihak atas'. Dengan cara
ini, gerakan pemantapan integriti meningkatkan dinamika dan kekuatannya.
Setiap
komponen atau sektor perlu mempunyai dan melaksanakan strategi dan
program integriti masing-masing selaras dengan PIN. Strategi, program
dan aktiviti itu perlu diulangkaji dari masa ke semasa. Ulangkaji itu
ialah untuk menilai keberkesanan dan memperbaiki kelemahannya agar
integriti secara selangkah demi selangkah menjadi budaya masyarakat
dalam jangka panjang.
Keseluruhan komponen atau institusi berikut terlibat dalam gerakan ini:a) Keluarga;
b) Komuniti;
c) Masyarakat Sivil (Pertubuhan-pertubuhan Masyarakat);
d) Sosiobudaya (pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan);
e) Agama
f) Ekonomi
g) Politik; dan
h) Pentadbiran
MEKANISME PELAKSANAANPelaksanaan
dan penyelarasan program integriti di setiap komponen atau institusi
adalah tanggungjawab agensi yang sudah sedia wujud dalam komponen itu
sendiri. Bagi komponen yang tidak ataupun belum mempunyai mekanisme
berkenaan, usaha ke arah pembentukan mekanisme ini perlu dilakukan. Pada
masa ini di sektor awam sudahpun terdapat mekanisme pelaksanaan
Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di pelbagai peringkat. Mekanisme
ini perlu diperkukuhkan dengan komitmen yang lebih tinggi dari semua
lapisan kepimpinan supaya ia menjadi lebih berkesan. Bagi sektor swasta,
terdapat badan-badan yang mewakili kepentingan majikan seperti dewan
perniagaan dan persatuan lain yang boleh memainkan peranan ini. Badan
pengawalan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya
Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan untuk memastikan
pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan untuk
sektor-sektor berkenaan. Bagi komponen lain seperti keluarga, komuniti,
masyarakat sivil, dan sosiobudaya, terdapat pelbagai agensi dan badan
bukan kerajaan (NGO) yang sudah sedia wujud dan yang boleh menjadi
penggerak dalam melaksanakan program integriti masing-masing. Pemantauan
oleh mana-mana agensi seperti Pendaftar Pertubuhan, misalnya, perlu
dilakukan secara berkesan. Walau bagaimanapun, pemantauan dan
penyelarasan paling berkesan ialah oleh badan-badan dalam komponen itu
sendiri.
Kepentingan golongan pelajar,
belia, wanita, golongan agama dan pelbagai kumpulan etnik, khususnya
golongan minoriti, penduduk bandar dan luar bandar serta golongan
bawahan, perlu diberikan perhatian khusus dalam gerakan pemantapan
integriti. Pemerkasaan atau empowerment melalui penglibatan
golongan-golongan ini dalam proses pembuatan keputusan di pelbagai
peringkat patut dititikberatkan, manakala perasaan tersisih atau
terpinggir perlu diatasi. Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti
masing-masing juga harus dilakukan melalui pelbagai badan yang sedia
wujud.
Bagi kelompok seperti pelajar,
belia, dan wanita, terdapat banyak organisasi yang mewakili mereka.
Bahkan, di peringkat kebangsaan masing-masing mempunyai Majlis
Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Majlis Perundingan Belia Kebangsaan, dan
Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).
Bagi
golongan pekerja, terdapat CUEPACS dan MTUC masing-masing untuk pekerja
sektor awam dan sektor swasta. Bagi golongan petani dan nelayan,
terdapat Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan, untuk kelompok
masing-masing yang bergerak di peringkat nasional dan juga peringkat
akar umbi.
Bagi penganut agama, terdapat
banyak pertubuhan dan institusi agama pelbagai kaum di peringkat
nasional dan tempatan. Badan-badan ini perlu membimbing ahli mereka
supaya menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni agama masing-masing.
Badan-badan ini juga perlu memainkan peranan mengukuhkan perpaduan dan
persahabatan, sekaligus memupuk sikap saling memahami dan menghormati
antara penganut agama yang berlainan. Kelompok etnik mempunyai banyak
pertubuhan khusus yang mewakili kepentingan etnik masing-masing. Hak dan
kepentingan wajar golongan etnik perlu dihormati. Namun, kecenderungan
bergerak mengikut garis etnik perlu diselaraskan dengan kepentingan
membina sebuah komuniti nasional yang bersatu padu dan harmoni. Pelbagai
pertubuhan yang mewakili kepentingan etnik perlu melaksanakan program
integriti masing-masing yang menitikberatkan nilai perpaduan,
persefahaman dan kerjasama antara kaum di samping menekankan nilai-nilai
terbaik etnik masing-masing.
Untuk
menjamin kejayaan gerakan pemantapan integriti, pelaksanaan, pemantauan,
serta koordinasi atau penyelarasan pelaksanaan program haruslah
dilakukan 'dari bawah' melalui pemerkasaan komponen atau sektor
masing-masing. Pemantauan dan penyelarasan yang dilakukan secara
pentadbiran yang birokratik boleh membantut daya usaha akar umbi dan ini
harus dielakkan. Sensitiviti pelbagai lapisan atau komponen masyarakat
terhadap campur tangan pihak lain perlu diambil perhatian. Sikap
terhadap mana-mana golongan ataupun pertubuhan perlu tepat dan membina.
Tindakan melabelkan mereka oleh pihak berkuasa dan pihak lain tidak
harus dilakukan.
STRATEGI PELAKSANAAN PELAN TINDAKAN INTEGRITI
Keseluruhan
pendekatan, strategi, dan pelan tindakan bagi mencapai objektif dan
sasaran PIN merupakan salah satu agenda utama negara, dan kini dirujuk
sebagai Agenda Integriti. Matlamat Agenda Integriti boleh dicapai dengan
mengatur secara rapi Strategi Pelaksanaan dan Pelan Tindakan untuk
pelbagai institusi masyarakat dan negara.
Dari
segi strategi pelaksanaan, pucuk pimpinan perlu memberikan isyarat yang
jelas, tegas dan konsisten tentang komitmen mereka melaksanakan Agenda
Integriti. Komitmen yang sama perlu ditunjukkan oleh anggota lain dalam
kepimpinan negara. Isyarat sedemikian akan mengobarkan semangat,
keyakinan dan keghairahan rakyat untuk turut bersama dengan kepimpinan
sesuai dengan prinsip "Rakyat menyokong pemimpin yang menyokong rakyat".
Sebagai
strategi jangka panjang, gerakan pemantapan integriti harus mempunyai
asas yang kukuh. Asas ini perlu dibina dari bawah dengan melibatkan
institusi paling asas, iaitu keluarga, komuniti dan masyarakat sivil.
Pembabitan
keluarga dan komuniti setempat dalam gerakan pemantapan integriti akan
menjamin kejayaan agenda menjadikan integriti budaya masyarakat dalam
jangka panjang. Pendekatan ini selaras dengan hakikat bahawa masyarakat
Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang berorientasikan keluarga dan
komuniti. Kini, nilai keluarga dan komuniti masih kukuh dan mendalam
walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran. Justeru,
bagi memastikan penerusan keteguhan nilai-nilai itu, pembinaan
integriti harus bermula daripada keluarga. Keluarga adalah unit paling
asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni dalam diri anggotanya.
Keluarga membimbing tingkah laku dan membentuk serta memantapkan
integriti anggotanya. Tumpuan pembentukan nilai-nilai murni harus
bermula daripada kanak-kanak manakala ibu bapa dan penjaga harus
membimbing dan menjadi teladan yang baik. Dengan demikian, dalam gerakan
pemantapan integriti, institusi keluarga memainkan peranan utama.
Agenda Integriti untuk keluarga ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pembangunan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia;
• Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani; dan
• Pemantapan nilai-nilai murni sebagai asas pembentukan identiti.
Institusi
keluarga berada di tengah-tengah komuniti atau masyarakat setempat.
Komuniti terdiri daripada keluarga dan kelompok-kelompok kejiranan yang
menjalin rangkaian sehingga menjadi komuniti yang lebih luas.
Pelaksanaan Agenda Integriti untuk keluarga berkaitan erat dengan Agenda
Integriti untuk komuniti.
Dalam
komuniti terdapat pelbagai institusi tradisional seperti ketua kampung,
imam, penghulu, pemanca dan ketua kaum yang sepatutnya menyemai
nilai-nilai murni masyarakat kepada generasi baru. Kewujudan institusi
seperti ini membantu pembentukan identiti berlandaskan nilai tradisi.
Selain itu terdapat pertubuhan akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan
dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Penduduk
yang menjaga kerukunan hidup dalam komuniti, termasuk menangani gejala
sosial. Juga, terdapat institusi khusus seperti sekolah, pusat asuhan
kanak-kanak, tadika, masjid, surau, pusat mengaji al- Quran dan
institusi ibadat lain yang boleh berperanan membina jasmani, emosi,
rohani dan intelek kanak-kanak.
Agenda Integriti untuk komuniti ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pengukuhan nilai-nilai murni kejiranan dan komuniti;
• Pemantapan pertubuhan dan institusi asas dalam komuniti; dan
• Pengukuhan semangat patriotisme dan perpaduan antara kaum serta kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.
Ruang
di antara keluarga dan komuniti dengan institusi besar, khususnya
negara dan kuasa pasaran atau institusi ekonomi ialah ruang masyarakat
sivil. Melalui proses modenisasi, perkembangan kelas menengah, pengaruh
dan interaksi dengan dunia antarabangsa serta impak globalisasi, ruang
masyarakat sivil semakin berkembang. Dalam ruang ini terdapat pelbagai
pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil (Civil Society Organisation -
CSO) yang memperjuangkan pelbagai isu seperti hak wanita, pengguna, alam
sekitar dan hak asasi man usia. Pertubuhan-pertubuhan ini juga bergiat
memajukan profesion atau aktiviti tertentu seperti sukan, kesenian,
kebudayaan dan aktiviti keagamaan; ataupun berperanan sebagai pemberi
khidmat penjagaan.
Agenda Integriti untuk masyarakat sivil ialah bagi mencapai objektif berikut:• Peningkatan integriti masyarakat sivil - badan bukan kerajaan;
• Peningkatan sumbangan CSO kepada usaha pemantapan integriti; dan
• Pengukuhan kerjasama antara CSO, kerajaan dan swasta untuk pemantapan integriti.
Begitu
juga dengan institusi sosiobudaya yang merangkumi pendidikan (sekolah,
kolej dan universiti), kesihatan, rekreasi dan sukan, media massa serta
seni, sastera dan warisan turut memainkan peranan membina dan
mengukuhkan integriti masyarakat dan negara. Institusi ini menyumbang
kepada pembinaan modal sosial, meningkatkan kesihatan dan keceriaan,
memupuk perasaan kekitaan, menangani gejala sosial dan lain-lain. Dengan
demikian, institusi tersebut mempunyai pengaruh besar terhadap
pengukuhan integriti keluarga, komuniti dan seterusnya masyarakat dan
negara.
Agenda Integriti untuk institusi sosiobudaya ialah bagi mencapai objektif berikut:• Pembinaan insan yang berintegriti dalam persekitaran sosiobudaya yang berintegriti;
• Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan, jasmani dan rohani; dan
• Pemantapan nilai-nilai murni, perpaduan dan pembentukan identiti warga negara.
Masyarakat
Malaysia berbilang kaum dan agama. Institusi agama sangat penting dalam
membina integriti individu, masyarakat dan negara. Pembinaan ini
dilakukan dengan menyemai nilai-nilai moral dan etika di dalam diri
individu dan keluarga berlandaskan ajaran agama masing-masing. la juga
dilakukan dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam pengurusan pelbagai
institusi lain termasuk pendidikan, media, ekonomi, politik dan
pentadbiran. Oleh yang demikian, institusi agama dan kepelbagaian agama
perlu ditangani sebaik mungkin.
Agenda Integriti untuk institusi agama ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Peningkatan kerjasama, persefahaman dan saling menghormati antara penganut pelbagai agama;
• Penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni ajaran agama; dan
• Peningkatan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni ajaran agama Islam sebagai agama kemajuan.
Institusi
ekonomi adalah institusi yang memakmurkan masyarakat dan negara melalui
proses pengeluaran dan penyediaan peluang pekerjaan. Bergerak dalam
ruang ini ialah banyak syarikat korporat dan syarikat besar lain, di
samping perusahaan sederhana dan keci!. Mereka telah membuat sumbangan
penting kepada kemajuan negara dan kemakmuran rakyat Malaysia pada hari
ini. Selain itu terdapat organisasi ya~ mewakili kepentingan majikan dan
kepentingan
pekerja. Organisasi ini memainkan peranan masing-masing dalam
memelihara hubungan yang membolehkan urusan ekonomi dan pekerjaan
dilaksanakan dengan berkesan.
Agenda Integriti untuk institusi ekonomi ialah bagi mencapai objektit berikut:
• Pemantapan integriti sektor korporat;
• Pengembangan dan pengukuhan budaya niaga yang beretika; dan
• Pengukuhan perpaduan antara kumpulan etnik dan antara wilayah melalui aktiviti ekonomi.
Malaysia
adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokrasi dengan
pemerintah dipilih melalui pilihan raya. Sistem ini menggabungkan
institusi raja berperlembagaan dengan sistem pemerintahan berparti di
peringkat pusat dan negeri dengan pilihan raya dijalankan secara
berkala. Sistem ini, yang sudah dilaksanakan semenjak kemerdekaan,
terbukti berkesan dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian dan
pembangunan kepada rakyat berbilang kaum. Justeru, sistem ini perlu
dipertahankan dan dikembangkan manakala pelbagai kelemahan dan
kekurangannya diperbaiki.
Cabaran terbesar
parti dan ahli politik, terutamanya bagi parti yang memegang kuasa
ialah memantapkan integriti dan menangani jangkaan rakyat yang kian
meningkat. Hasil kemajuan pendidikan dan pendedahan kepada dunia luar,
rakyat semakin sedar tentang hak mereka. Dengan itu, mereka semakin
tidak teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan bagi mendapatkan hak
mereka itu. Rakyat juga mahu gelanggang politik menjadi medan yang
bersih dan landasan memajukan masyarakat dan negara. Justeru, rakyat
menuntut mereka yang menceburi politik atau yang berkuasa supaya
bersifat amanah, telus, bertanggungjawab, serta benar-benar berkhidmat
demi kepentingan rakyat dan negara. Bahkan, rakyat meletakkan parti dan
ahli politik di bawah kanta mikroskop untuk dinilai. Selain itu, rakyat
mahukan gelaran "Yang Berhormat" menjadi "Yang Berkhidmat". Wakil-wakil
Rakyat juga dikehendaki berpegang pada etika dan prinsip "bekerja
bersama-sama ketua, bukan untuk ketua, tetapi untuk rakyat dan negara".
Agenda Integriti untuk institusi politik ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pengekalan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara;
• Pengekalan kedaulatan dan peningkatan keutuhan institusi parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang yang luhur;
•
Pengamalan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik
yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri; dan •
Pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus
terbaik.
Institusi pentadbiran di Malaysia
adalah antara yang terbaik di negara membangun. Jentera pentadbiran
bersama-sama dengan jentera politik merupakan tulang belakang kekuatan
masyarakat dan negara. Pentadbiran merupakan aspek penting yang
menentukan kejayaan sesuatu dasar dan program yang dilaksanakan oleh
Kerajaan. Pentadbiran sektor awam adalah peneraju utama yang memberikan
perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Sistem penyampaian
perkhidmatan sektor awam yang cekap dan berkualiti amat perlu bagi
memenuhi keperluan masyarakat dan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.
Oleh yang demikian, integriti jentera pentadbiran sangat penting
ditangani.
Agenda integriti untuk institusi pentadbiran ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik; dan
• Peningkatan integriti jentera pentadbiran awam.